Keluarga Altantuya merayu untuk naikkan ganti rugi RM5 juta

0
214

KELUARGA model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu merayu untuk mendapatkan ganti rugi lebih tinggi daripada RM5 juta yang dianugerahkan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam saman yang mereka failkan berhubung kematiannya pada 2006.

Dalam notis rayuan yang difailkan pada 16 Jan tahun ini, keluarga Altantuya membuat rayuan balas terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kuantum ganti rugi.

Pada 16 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan saman oleh keluarga Altantuya dan memerintahkan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan untuk bersama-sama membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.

Beliau juga memberikan faedah lima peratus setahun daripada jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh amaun dan kos guaman sebanyak RM25,000.

Pada 12 Jan lepas, kerajaan dan Abdul Razak memfailkan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai liabiliti dan kuantum.

Pengurusan kes bagi rayuan keluarga Altantuya diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nadia Mohd Kamal hari ini, yang kemudiannya menetapkan tarikh pengurusan kes pada 13 Jun untuk pihak-pihak terlibat mengemas kini perkembangan status alasan rayuan dan nota prosiding kepada mahkamah.

Rayuan oleh Abdul Razak dan kerajaan juga ditetapkan untuk pengurusan kes pada hari yang sama.

Ketika dihubungi Bernama, peguam Simranjit Kaur Chhran yang mewakili keluarga Altantuya, mengesahkan tarikh pengurusan kes seterusnya itu.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah Hadri dan Sirul Azhar, Abdul Razak dan kerajaan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya berkata kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dan menuntut pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Sirul Azhar kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia manakala Azilah di Penjara Kajang, menunggu hukuman mati.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here