Ada kebarangkalian gempa bumi berlaku di Malaysia – NRECC

0
150

MALAYSIA mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi berdasarkan kepada bukti empirikal, demikian menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Sebagai langkah mitigasi jangka panjang, NRECC memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

“Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berhubung risiko gempa bumi di Malaysia.

NRECC turut menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia. 

Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015, manakala gegaran terkuat di Sarawak berlaku pada 1996 dengan 5.3 skala Richter.

Di Semenanjung Malaysia turut pernah berlaku beberapa gegaran gempa bumi dengan pusat gempa tempatan di Bukit Tinggi di Pahang, Empangan Kenyir di Terengganu, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Manjung dan Temenggor di Perak dengan julat kekuatan antara 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Bagi memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan gempa bumi, NRECC memaklumkan JMG telah memasang enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri meliputi 29 stesen PAG pasif di Sabah, Pahang (13), Selangor (6), dan masing-masing dua stesen di Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak serta dipantau secara masa nyata.

JMG juga telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019 yang mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan ‘Peak Ground Acceleration’ (PGA) yang digunakan sebagai rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa bumi.

Menurut NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung, dengan magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan,” menurut NRECC.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here