SEORANG wanita yang tular menerusi media sosial baru-baru ini kerana disyaki mencuri kad debit ibu saudara tirinya dan mengeluarkan RM8,200 untuk membeli telefon pintar jenama iPhone 14 Pro, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.
Mengikut pertuduhan utama, wanita yang tidak bekerja itu didakwa mencuri kad debit Nor Farah Hanim Mohd Alias, 26, serta mengeluarkan wang RM8,200 di sebuah pangsapuri di Chow Kit, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Mac lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.
Nur Humaira juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menyalahgunakan wang RM8,200 milik mangsa (Nor Farah Hanim) yang dikeluarkan dari akaun bank tanpa pengetahuan mangsa pada tempat dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Nur Humaira diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan mengenai penahanan seorang wanita kerana disyaki mencuri RM8,200 dari akaun bank ibu saudara tirinya untuk membeli iPhone 14 Pro Max serta barang kemas menggunakan duit yang dicuri.
Perbuatan tertuduh kemudian tular menerusi media sosial selepas mangsa melahirkan rasa terkilan apabila layanan baik yang diberikan kepada anak saudara tirinya itu dibalas dengan cara sedemikian (mencuri).
— BERNAMA