Pekerja sambilan agensi kerajaan didakwa hantar komunikasi lucah

0
182

SEORANG pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas satu pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira dua tahun lepas.

Tertuduh Muhammad Zakir Ramli, 29, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar yang bersifat lucah menggunakan aplikasi itu pada 20 Mei 2021, pukul 7.30 pagi hingga 3.02 pagi pada 28 Mei 2021.

Gambar itu kemudian telah dilihat pada 28 Mei 2021, pukul 12.11 tengah hari, di sebuah kilang di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nazrul Nizam Mohd Zameri kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan dia bekerja sambilan dengan gaji sekitar RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anaknya berusia setahun.  

Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here