Sebutan semula kes anggota polis bunuh isteri pada 12 Mei

0
154

MAHKAMAH Majistret Kangar hari ini menetapkan 12 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dituduh membunuh isterinya pada 5 Mac lepas.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Pengarah Pendakwaan Perlis Mohd Nordin Ismail supaya tarikh baharu sebutan semula kes itu ditetapkan kerana pihaknya masih menunggu laporan psikiatrik Mohamad Nizarman Hassim, 27, yang belum siap sepenuhnya.

Pada 17 Mac lepas,  Mahkamah Majistret  yang sama telah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd Nordin supaya tertuduh menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mohamad Nizarman dituduh membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh dipercayai membunuh isterinya dengan menembak dalam  kejadian di dalam sebuah bilik kediaman keluarga mangsa.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here