Sembilan lelaki tempatan ditahan, bergaduh hingga maut di Bangsar

0
173

SEMBILAN lelaki warga tempatan ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua suspek terbabit berumur antara 24 hingga 30 tahun dengan motif kejadian dipercayai berlaku kerana wujud dendam lama antara mangsa dan suspek.

Beliau berkata mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun bersama rakannya seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah ke Jalan Telawi untuk minum.

“Setelah selesai minum dan dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.

“Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” kata Amihizam dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata polis merampas senjata digunakan oleh suspek iaitu sebilah pisau dan sebotol arak.

“Arahan untuk menuduh telah dikeluarkan ke atas tiga orang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala enam lagi suspek tangkapan tersebut dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sedang mengesan seorang saksi kes pecah amanah yang merupakan pekerja di O.G. Height Condo, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Amihizam berkata saksi itu dikenali sebagai Loo Yuit Mei berumur 66 tahun bekerja sebagai pengurus bangunan, beralamat terakhir di C-6-3, Kiara Residence 2, No 3, Jalan Jalil Perwira 1, Bukit Jalil 58200 Kuala Lumpur.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan saksi tersebut diminta hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan atau menghubungi Insp Isma Hassif Ismail di talian 011-16253955,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here