Reza Razali direman dua hari – Bukit Aman

0
135

PEMILIK akaun Twitter Reza Razali yang ditahan petang semalam kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur perkauman di media sosial, direman selama dua hari bermula hari ini. 

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP A. Skandaguru berkata permohonan reman terhadap Reza atau nama sebenarnya Roslizal Razali dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. 

Beliau berkata tempoh tahanan reman yang dibenarkan adalah selama dua hari iaitu bermula hari ini hingga esok (14 April). 

“Kes berkenaan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu Skandaguru dilaporkan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

Suspek yang berusia 46 tahun itu juga ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here