Isu Laut China Selatan: Kesediaan Anwar berunding tindakan lemah

0
146

KESEDIAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan China berhubung kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) disifatkan sebagai tindakan yang takut dan lemah kepada kuasa besar itu.

Setiausaha Agung BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Shariff berkata, keterbukaan Anwar dalam membincangkan perkara berkenaan dengan China seperti membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara.

“Tindakan berkenaan menunjukkan Perdana Menteri terlalu takut dan lemah apabila berhadapan dengan isu pencerobohan China di Laut China Selatan.

“Memberi ruang dan rundingan di atas sempadan EEZ negara daripada seorang Perdana Menteri Malaysia amatlah memalukan sekali gus membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara,” katanya lapor portal Ismaweb.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kesediaan Anwar untuk berunding dengan China berhubung isu pertembungan di kawasan yang bertindih sedangkan kawasan yang dimaksudkan itu adalah kawasan EEZ milik Malaysia secara sepenuhnya.

Mengkritik ketersediaan berunding itu, Mohd Hamdan berkata, sebagai pemimpin beliau perlu mengetahui perkara asas mengenai kedudukan sempadan negara yang wajib dipertahankan dengan segala sumber kekuatan.

Namun, katanya, amat menyedihkan apabila kenyataan Perdana Menteri adalah sebaliknya kerana mencerminkan kelemahan gaya pentadbiran yang begitu ketara.

“Kita perlu jelas bahawa Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 menyatakan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai.

“Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut, yang juga meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut serta ruang udara di atasnya”, tegas beliau.

Atas dasar itu, Mohd Hamdan menggesa kerajaan pimpinan Anwar supaya lebih tegas mempertahankan kedaulatan negara, menjaga sempadan negara dari sebarang pencerobohan yang biadap terutamanya daripada China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here