Malapetaka menanti kerajaan Anwar – Hassan Karim

0
486

SATU malapetaka akan berlaku kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengampunan diraja dan 47 pertuduhan pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kesan daripada keputusan itu Pakatan Harapan dan PKR akan ditolak rakyat dalam enam Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

“PH dan Keadilan seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihanraya umum-pilihanraya umum yang akan datang.

“Kesudahannya, PH dan Keadilan akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional dan UMNO jika Najib Razak dan Zahid Hamidi bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

IMEJ baik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim setakat ini tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib Razak dan penangguhan kes Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib Razak kini memohon dibebaskan dari hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta melalui pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong. Permohonan pengampunan telah difailkan pada bulan Ogos tahun lalu.

Zahid Hamidi memohon 47 pertuduhan kes rasuah, salahguna kuasa dan pelupusan wang haram digugurkan oleh Peguam Negara. Representasi telah difilekan kepada Jabatan Peguam Negara oleh peguam Zahid Hamidi.

Daripada prosiding permohonan penangguhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini jelas menunjukkan Pihak Pendakwaan berjalan seiring dan senada dengan Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah (SPRM) memberi alasan tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan kes Zahid Hamidi yang dikemukakan oleh peguam Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden UMNO.

Kesudahannya pada hari ini perbicaraan ke atas Zahid Hamidi yang telah ditetapkan dari bulan April hingga Julai nanti telah dilapangkan atau dalam bahasa biasa bermaksud ditangguh ke tarikh yang baru. Alasan utama penangguhan itu ialah untuk menunggu keputusan Peguam Negara sama ada 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi itu wajar digugurkan ataupun tidak.

Perkembangan apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini amat menyeramkan dan membimbangkan.

Nampaknya peranan Peguam Negara berada di kedua-dua gelanggang. Pertama, Peguam Negara mengambil posisi dalam pengampunan Najib Razak di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dianggotai sama oleh Peguam Negara. Seterusnya, melalui Perkara 42(9) menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah disebut dengan jelas bahawa takrif kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah Perkara 42(4)(b) bahawa kuasa Agong dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.

Kedudukan perundangan ini amat jelas berbeza dengan kuasa budibicara Peguam Negara yang bukan raja dan bukan Agong di Mahkamah sivil. Kuasa Peguam Negara untuk mengugurkan 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi hampir mutlak di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini berbahaya dan cukup merisau dan membimbangkan kepada sesiapa yang mencintai keadilan, ketelusan dan kebenaran.

Di bawah Perkara 145(3) dinyatakan secara bertulis bahawa Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut BUDIBICARAnya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di mahkamah sivil.

Kemungkinan senario yang tidak diingini akan berlaku. Jika Najib Razak diberi pengampunan diraja dan 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi digugurkan maka kesan dua hal besar ini adalah suatu malapetaka kepada Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diingatkan. Gabungan politik Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat akan ditolak oleh rakyat dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi. PH dan Keadilan seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihanraya umum-pilihanraya umum yang akan datang.

Kesudahannya, PH dan Keadilan akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional dan UMNO jika Najib Razak dan Zahid Hamidi bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali.

Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan.

HASSAN ABDUL KARIM
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Isnin 10 April 2023

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here