PH, BN sepakat penyandang kekal tanding PRN

0
248


PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju semua kerusi penyandang akan kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kata sepakat itu dicapai menerusi perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi untuk PH dan BN pada PRN kelak, yang diadakan baru-baru ini.

“Perbincangan pusingan pertama telah dibuat antara PH dan BN, perbincangan itu bersetuju untuk melibatkan beberapa parameter yang akan memandu ke arah pengagihan kerusi pilihan raya antaranya kerusi penyandang akan kekal untuk parti yang menang pada PRU14.

“Kami menjangkakan pengagihan kerusi akan selesai semuanya sebelum penamaan calon PRN bagi enam negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri MADANI di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan dan pembahagian kerusi membabitkan PH dan BN menjelang PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Dilaporkan enam negeri itu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Mengulas lanjut, beliau berkata rundingan pembahagian kerusi di peringkat negeri sedang berjalan ketika ini dan ia dibuat berdasarkan keputusan di peringkat sekretariat PH yang disampaikan di negeri terlibat.

“Di Kedah dan Selangor sedang berjalan mesyuarat tersebut, manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan belum lagi (mesyuarat) namun telah dijadualkan dalam masa terdekat.

“Dua hari lepas saya berada di Terengganu dan saya sampaikan taklimat tatacara rundingan itu, sehari dua lagi saya akan ke Kelantan pula untuk sampaikan taklimat sama,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata jika terdapat parti yang mahu tambahan kerusi dan ia tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri, maka akan dibawa dan diselesaikan di peringkat pimpinan pusat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here