Johari beri amaran usah guna simpanan KWSP untuk sokong pinjaman

0
504

SEORANG bekas menteri kewangan II menggesa kerajaan supaya mengkaji semula langkah membenarkan orang ramai menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai fasiliti sokongan untuk memohon pinjaman bank.

Datuk Seri Johari Ghani berkata, peminjam akan dibebani bayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman itu, selain skim itu akan membawa masalah kepada bank kerana proses terbabit memerlukan semakan kredit dan penyediaan perjanjian undang-undang.

Katanya, lebih mudah untuk membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP secara terus. Pun begitu, pengeluaran simpanan sepatutnya hanya dibenarkan kepada individu memerlukan dana kecemasan, seperti membayar perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pencarum dibenar menggunakan simpanan Akaun 2 sebagai fasiliti sokongan untuk pembiayaan pinjaman bank.

Ia sebagai penyelesaian alternatif terhadap gesaan pelbagai pihak supaya satu lagi pusingan pengeluaran KWSP dibenarkan.

Johari bimbang kaedah itu akan menyebabkan peminjam dibebani bayaran faedah yang besar.

“Kalau awak pinjam RM70,000, bayar faedah katakanlah 5% setahun iaitu RM3,500. Untuk 10 tahun, faedah saja RM35,000. Maknanya, awak ambil pinjaman RM70,000 dan faedah selama 10 tahun sebanyak RM35,000.

“Jumlah bersih yang awak terima daripada pinjaman RM35,000. Kalau itu saja jumlahnya, adalah lebih baik gunakan saja duit KWSP secara terus RM35,000. Tak payah nak bayar faedah.”

Johari berkata, bank juga sukar memproses pinjaman menggunakan simpanan KWSP kerana pemberian pinjaman melibatkan pemeriksaan kredit dan perjanjian undang-undang.

Disebabkan kesulitan ini, lebih mudah bagi semua pihak sekiranya pencarum mengeluarkan wang daripada KWSP secara terus.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tindakan pentadbiran terdahulu membenarkan pengeluaran simpanan KWSP secara menyeluruh ketika pandemik membawa kesan serius.

Pertama, pengeluaran itu menyebabkan KWSP terpaksa mencairkan pelaburan jangka panjang yang menjejaskan keupayaannya menjana pulangan.

“Pelan pelaburan KWSP bersifat jangka masa panjang. Jadi ia akan hanya mencairkan pelaburannya mengikut keperluan, berdasarkan anggaran jumlah persaraan dari masa ke semasa.”

Johari menjelaskan, pengeluaran secara tergesa-gesa oleh pencarum KWSP akan mengganggu pelaburan dana persaraan itu yang akan menjejaskan pulangan masa depannya.

Kedua, katanya, membenarkan mereka yang tidak terjejas dengan pandemik mengeluarkan simpanan KWSP mereka antara faktor yang menyebabkan inflasi.

“Mengapa duit KWSP itu turut diberikan kepada mereka yang tidak terkesan kehilangan pekerjaan seperti kakitangan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lain?” lapor FMT yang memetik wawancara Johari bersama Utusan Malaysia.

Akibatya, RM145 bilion yang dikeluarkan daripada KWSP semasa pandemik Covid-19 membawa kepada kemasukan wang dalam pasaran yang mengakibatkan kadar inflasi Malaysia meningkat daripada 1.14% pada 2020 kepada 3.23% pada 2022, ketika kerajaan menarik balik semua sekatan Covid-19.

Johari berkata, keadaan inflasi itu diburukkan lagi dengan moratorium pinjaman menyeluruh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here