Masjid seluruh negara buat solat hajat, doa untuk rakyat Palestin

0
214

MASJID di seluruh negara, hari ini, melaksanakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah selepas solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

Ia susulan tragedi serangan dan kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan.

Doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan rakyat Palestin.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan masjid, surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengadakan bacaan Qunut Nazilah dan solat hajat selepas solat Jumaat.

Seluruh masjid dan surau di Selangor juga turut diminta mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat susulan serangan rejim Zionis berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan itu selain menegaskan kerajaan negeri dan rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel itu.

Menurut laporan BH Online, tentera Israel dilaporkan menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur kelmarin, serbuan pada malam kedua berturut-turut dalam tempoh kurang 24 jam.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan Israel yang lengkap bersenjata bertindak menyerbu pekarangan masjid itu ketika hampir 20,000 jemaah Palestin sedang mengerjakan solat Tarawih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here