Maszlee Malik dilantik pengerusi badan pemikir Islam

0
203

BEKAS menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, dilantik pengerusi baharu International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), berkuat kuasa 31 Mac lalu.

“Sebagai pengerusi baharu dilantik, saya komited bekerjasama dengan pasukan berbakat kami untuk menggunakan pengetahuan dan kepakaran institut luas, menjadikan IAIS penyumbang lebih berharga kepada perbincangan global berkaitan Islam dan peranannya dalam masyarakat kontemporari,” katanya menerusi surat, lapor FMT.

IAIS ialah badan pemikir bebas bukan berasaskan keuntungan, ditubuhkan pada 2007, dengan objektif utama menggalakkan pemahaman dan penghayatan lebih mendalam tentang kepelbagaian Islam.

Ketika ini, Maszlee kembali ke dunia akademik dan memegang jawatan profesor di Fakulti Psikologi dan Sains Sosial, di Universiti Cyberjaya.

Beliau terjun dalam politik ketika PRU14 pada 2018, apabila menyertai Bersatu, rakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ketika itu dan merampas kerusi Simpang Renggam daripada BN.

Sebelum itu, beliau merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Maszlee dilantik menteri pendidikan selepas PH mendapat mandat membentuk kerajaan berikutan kemenangan mereka, pada PRU14.

Tempoh beliau sebagai menteri pendidikan dipenuhi dengan kontroversi seperti meminta pelajar sekolah memakai kasut hitam serta memasukkan Jawi dalam sukatan pelajaran sekolah vernakular.

Dua puluh bulan selepas pelantikannya, Maszlee meletak jawatan.

Selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, beliau menentang keputusan Bersatu membentuk kerajaan bersama BN dan PAS dalam Langkah Sheraton.

Beliau kemudiannya dipecat parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

Pada November 2021, beliau menyertai PKR selepas lebih setahun menjadi Ahli Parlimen bebas mesra PH.

Semasa pilihan raya negeri Johor 2022, Maszlee bertanding di kerusi DUN Layang-Layang, namun tewas kepada calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim.

Maszlee juga telah menerbitkan beberapa buku, kebanyakannya mengenai sains sosial dan politik Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here