Pemimpin utama PN tak hadir sesi PMQ bukan isu – Tuan Ibrahim

0
148

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiadaan kelibat tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) tidak perlu dijadikan isu.

Menurut bekas menteri alam sekitar dan air itu, ramai yang tersilap faham keperluan hadir semasa sesi PMQ yang ditetapkan pada setiap Selasa itu.

“Semasa sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya soalan (kepada perdana menteri), kalau Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pun bukan boleh tanya soalan pun.

“Orang yang tanya soalan bertulis saja, apabila perdana menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya sesuka hati orang lain boleh mencelah,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, perjalanan sidang Dewan Rakyat mempunyai peraturan tersendiri dan sebarang pertanyaan tertakluk kepadanya.

Pada masa sama beliau berkata isu pemimpin utama pembangkang tidak hadir sepatutnya tidak berbangkit.

Bahkan katanya ketidakhadiran ahli parlimen kerajaan adalah lebih “dahsyat” lagi terutama apabila perdana menteri tiada dalam dewan berkenaan.

“Kita (PN) ada lebih 70 ahli parlimen dan perkara itu (ketidakhadiran) hanya sekadar isu yang dibangkitan seolah-olah nak burukkan pembangkang.

“Tak perlu berbangkit pun, kalau nak kira ketidakhadiran mereka (wakil rakyat kerajaan) lagi dasyat, masa perdana menteri ada saja penuh” katanya, menurut laporan Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata begitu pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menzahirkan rasa kecewanya dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu PMQ untuk bertanya sebarang soalan kepada Anwar Ibrahim.

Antara yang tidak hadir semasa sesi berkenaan kelmarin ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi PN merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tunggu keputusan akhir

Abdul Hadi juga merupakan timbalan pengerusi PN.

“Pagi ini YAB Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

“YAB Zahid Hamidi dan YAB Fadillah Yusof hadir sekali.

“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulis Fahmi di media sosial.

Katanya, PMQ pada setiap Selasa adalah peluang terbaik pembangkang untuk membangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Anwar.

Analisis terhadap rekod kedatangan Dewan Rakyat pada tahun lalu menunjukkan tiga pemimpin terbabit antara yang mencatatkan kehadiran paling buruk dalam pemantauan antara 26 Julai 2021 hingga 23 Mac 2022.

Itu bukan kali pertama Fahmi membangkitkan perkara tersebut dan berkongsi gambar tempat duduk kosong tiga pemimpin kanan PN itu.

Sementara itu dalam perkembangan lain Tuan Ibrahim berkata PN sudah mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi bagi berdepan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya perkara itu belum muktamad dan prosesnya berjalan dengan lancar.

“Setakat ini semua negeri sudah mengadakan perbincangan dan tidak berdepan sebarang masalah berbangkit. Cuma tunggu untuk buat keputusan akhir,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here