Pemilik kelab komedi kemuka representasi kedua gugur tuduhan

0
116

PEMILIK kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Van Geyzel hari ini mengemukakan representasi kedua bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi media sosial yang dihadapinya.

Peguam M. Pravin mewakili Mohamad Rizal memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen N. Priscilla bahawa surat representasi diserahkan hari ini kerana terdapat perkembangan baharu yang sangat penting dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

“Sehubungan itu, pihak kami mohon perbicaraan kes ini bermula pada Jun manakala tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 14 April dan 2, 3 serta 22 Mei ini dilapangkan, sementara menunggu keputusan representasi.

“Pihak kami juga akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara  pasport antarabangsa anak guam bagi membolehkannya menunaikan umrah pada 15 hingga 30 Mei ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata pihaknya memerlukan tempoh masa sebulan untuk mengkaji representasi tersebut dan menyerahkannya kepada pihak atasan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mei untuk keputusan representasi serta melapangkan tarikh perbicaraan sebelum ini dan menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 1 serta 2 Jun ini.

Pada 20 Jan lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Mohamad Rizal pada 12 Dis tahun lepas bagi menggugurkan tiga pertuduhan tersebut.

Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here