Malaysia kecam tindakan ganas askar Israel ceroboh Al-Aqsa

0
102

KERAJAAN Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab terbaharu askar rejim Israel menceroboh ganas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timus semalam.

Menerusi kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, ia berkata, aksi pasukan keselamatan negara haram itu adalah menyalahi undang-undang sejagat dan berbaur penghinaan.

“Mereka juga jelas mencabuli prinsip kebebasan di bawah hak asasi manusia global ke atas warga Palestin apabila bertindak di tempat ketiga suci bagi umat Islam,” katanya.

Pagi semalam, polis rejim Zionis itu menyerbu masjid berkenaan sebelum menyerang dan menahan lebih 400 jemaah kononnya kumpulan tersebut merupakan pemberontak.

Walau bagaimanapun, saksi mendakwa, pasukan Israel itu menggunakan kekerasan dengan melempar gas pemedih mata ke atas jemaah yang solat dan bertadarus al-Quran.

Pihak polis Israel juga bertindak kejam memukul jemaah dan penghalang sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin datang membantu mangsa yang cedera di situ.

Ketegangan itu pada mulanya dicetuskan oleh kehadiran penganut Yahudi pelampau merancang bagi mengorbankan kambing sempena memperingati sambutan hari Paskah.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia turut menyeru komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk bertegas ke atas Israel.

“Rejim itu perlu bertanggungjawab susulan perlakuan jenayah berkenaan dan mendesak agar semua tahanan Palestin tersebut wajar dibebaskan dengan serta-merta,” tegasnya.

Masyarakat sejagat juga ujarnya, harus menuntut rejim Israel untuk menghentikan segera sebarang tindakan provokasi dalam memastikan kestabilan dan keamanan terus kekal.

Pada masa sama, Malaysia akan tetap bersolidariti dengan rakyat Palestin dan terus mengulangi pendirian supaya status Al-Quds Al-Sharif kekal sebagai tapak suci umat Islam.

Pendirian itu jelas Kementerian Luar, selaras hak Palestin untuk mempertahankan negara tersebut merdeka berdasarkan peta pra-967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here