Nusyuz: Mahkamah tetapkan 24 Mei pengurusan kes Musa Hassan, isteri

0
164

MAHKAMAH Rendah Syariah di sini menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi permohonan nusyuz bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil.

Menurut peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Elly Afizahwati, mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan pihaknya melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan dan penyerahan dokumen terbabit kepada plaintif (Musa).

“Kita lawan balik dan kita juga akan mengemukakan tuntutan balas ke atas pihak belah sana. Kita ikut sahaja perjalanan kes ini nanti.

“Untuk tarikh akan datang ini, kita akan serahkan dokumen dan melengkapkan apa yang patutnya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini. 

Sementara itu, Musa, 72, yang hadir ke mahkamah memakai sut biru berkemeja putih dan bersongkok, memberitahu sejak isu ini dibawa ke mahkamah, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan isterinya itu. 

“Tiada apa pun setakat ini, tidak bercakap pun. Kita ikut sahajalah prosedur mahkamah,” katanya sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah. 

Mengulas mengenai tuntutan cerai, Elly Afizahwati, 42, berkata, dia tidak mengubah keputusannya. 

“Keputusan untuk bercerai itu diteruskan, tiada perubahan sebab sudah tidak rasa apa lagi sekarang,” katanya ringkas lapor Utusan Malaysia.

Elly Afizahwati memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 30 Mac lalu.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

Pihak polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal Mac lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here