Farid tetap tak nak berpisah

0
165

PELAKON Farid Kamil, 42, tetap dengan pendirian untuk mempertahankan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, bagi mengelakkan dua cahaya mata mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, terpisah.

Beliau berkata akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu.

Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari gembira dapat bertemu dengan isterinya hari ini.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sedang berusaha menyelamatkan keluarga saya.

“Saya dalam proses memikirkan jalan terbaik untuk mencapai jalan perdamaian. Memberi anak-anak ibu bapa mereka semula dan menjalani hidup normal seperti sedia kala.

“Selama 11 tahun kami mengharungi pelbagai rintangan, jadi masih ada harapan. Jadi, saya letakkan harapan kepada Allah SWT supaya dapat kembali seperti biasa, suatu hari nanti.

“Saya tak pernah berhenti berusaha mencari isteri dan anak-anak di mana berada. Tetapi, banyak kekangan, apatah lagi saya sibuk dengan kerjaya pada Ramadan ini,” katanya.

Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi sebutan kali pertama kes hadanah dua anaknya.

Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan diri sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Diana Danielle ketika hadir bagi perbicaraan tuntutan hadanah di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Sementara itu, peguam mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia turuti arahan Farid untuk menyelamatkan rumah tangganya.

“Hari ini sebutan kali pertama hak jagaan sementara anak. Mahkamah sudah beri tarikh pada 30 Mei depan untuk sebutan sekali lagi kes ini.

“Arahan Farid kepada saya nak menyelamatkan rumah tangga dan anak-anak. Itu niat Farid sejak awal lagi. Selain itu, kami tak nak ketengahkan,” katanya, lapor Berita Harian.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here