Pencarum KWSP dikhuatiri terus terperangkap dengan hutang

0
125

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri terus terperangkap dalam kitaran hutang jika mencagarkan simpananan mereka untuk membuat pinjaman bank.

Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma, berkata tindakan itu juga akan menyebabkan pencarum, hilang sebahagian daripada simpanan mereka.

Mengakui langkah itu adalah jalan tengah untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat, beliau bagaimanapun berkata, rakyat akan terus dibebani hutang jika tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik.

“Pengeluaran wang daripada KWSP ini adalah langkah alternatif kerajaan, daripada memberi wang secara terus kepada rakyat yang amat memerlukan.

“Namun, jika pinjaman ini tidak dapat dilangsaikan atau diuruskan dengan baik, ia akan menyebabkan pencarum dibebani hutang, selain menjejaskan nilai simpanan mereka dalam KWSP,” katanya.

Semalam, KWSP mengumumkan, pencarum KWSP berusia 40 tahun ke atas, yang mempunyai tabungan minimum RM3,000 dalam Akaun 2, layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), mulai 7 April ini.

Dua bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman berkenaan iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank, dengan kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

KWSP dalam kenyataannya menyebut, FSA2 adalah kemudahan yang boleh digunakan sebagai cagaran, bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Mengulas lanjut, Madeline berkata, kemudahan diberikan KWSP itu juga memberi peluang kepada mereka yang kurang layak mendapat pinjaman peribadi daripada bank untuk mendapat pinjaman, khususnya pencarum yang sudah kehilangan pekerjaan tetapi mempunyai nilai caruman yang banyak.

“Ini membolehkan mereka yang mempunyai skor kredit rendah untuk mendapat pinjaman dan pada masa sama, membolehkan pencarum meringankan beban kewangan tanpa menjejaskan dana persaraan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here