SELEPAS bergelar bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 pada Mac lalu, aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh kembali ke tanah air meraikan kemenangannya.
Bintang filem Everything Everywhere All At Once itu bakal diraikan pada satu majlis istimewa, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet di Pavilion Kuala Lumpur pada 18 April ini.
Yeoh, 61, mula mencipta nama menerusi filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an itu melakar sejarah bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama, tetapi juga pelakon Asia pertama meraih trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam sejarah Oscar.
Ucapannya di Oscar menjadi antara petikan paling banyak dikongsi dalam media sosial, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat dan wanita Asia.
“Bagi semua lelaki dan wanita yang kelihatan seperti saya menonton, ini adalah suara harapan dan kemungkinan. Ini adalah bukti, impian besar boleh menjadi kenyataan.
“Dan wanita, jangan biarkan sesiapa pun memberitahu anda sudah melepasi kecemerlangan.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu dan kaum ibu di seluruh dunia kerana merekalah adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka, kita tidak akan dapat berada di sini.
“Ibu saya berusia 84 tahun dan saya akan membawa trofi ini pulang ke rumah. Ibu menonton di Malaysia bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya sayang kamu semua. Saya akan bawa pulang trofi ini,” katanya atas pentas selepas menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik, lapor BH Online.
Ini membuktikan Yeoh akan menunaikan janjinya dengan pulang ke Malaysia, tidak lama lagi.
Menerusi Oscar Ke-95, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quah Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.