Mas Ermieyati dilantik pengerusi PAC baharu

0
232

AHLI Parlimen Masjid Tanah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Beliau menggantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Mas Ermieyati menjadi wanita kedua dilantik memegang jawatan itu selepas Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dari April 2019 hingga Mac 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat turut menamakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai naib pengerusi.

Usul itu diterima sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat, lapor FMT.

Terdahulu, menurut Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri akan mencadangkan calon bagi lantikan berkenaan.

Pelantikan itu sebagai meneruskan amalan lantikan pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang seperti dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, yang mana jawatan berkenaan terdahulu disandang Kah Woh daripada PH.

PAC ialah jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada ketua audit negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Ia akan dianggotai antara enam hingga 12 ahli yang akan dicalon oleh jawatankuasa pemilihan yang akan ditubuhkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here