Laman sesawang Jabatan Imigresen digodam

LAMAN sesawang rasmi Jabatan Imigresen www.imi.gov.my digodam individu dikenali sebagai ‘CaptainSmok3r’ hari ini.

Jurucakap Kementerian Komunikasi dan Digital memberitahu wartawan dalam kumpulan WhatsApp, laman sesawang itu tergendala buat sementara dan Cybersecurity Malaysia (CSM) berusaha menyelesaikan perkara itu.

“Bahagian teknologi maklumat dan rekod (Jabatan Imigresen) sedang bekerjasama dengan CSM untuk mengukuhkan keselamatan digital. Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” kata jurucakap itu, lapor FMT.

Semakan dalam talian menunjukkan laman sesawang itu tidak dapat diakses menggunakan peranti mudah alih dan komputer.

Tajuk halaman pada hasil carian Google menunjukkan ‘Hacked by CaptainSmok3r’, bukannya dibawa ke laman sesawang itu.

Tetapi, laman Facebook Jabatan Imigresen tidak mendedahkannya diserang penggodam, sebaliknya menyatakan alasan laman sesawang itu ditutup akibat ‘kerja penyelenggaraan’.

Ini bukan kali pertama agensi kerajaan digodam.

Tahun lalu, kumpulan penggodam dikenali sebagai ‘Dark Pink’ menggunakan e-mel pancingan data dan perisian hasad lanjutan untuk menyerang rangkaian e-mel ketenteraan beberapa negara Asia, termasuk Malaysia.