Gempa bumi di Laut China Selatan tidak hasilkan gegaran permukaan-MetMalaysia

0
225

GEMPA bumi yang berlaku di Laut China Selatan awal pagi semalam tidak menghasilkan sebarang gegaran di permukaan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini.

MetMalaysia memaklumkan perkara ini kerana gempa bumi itu berlaku terlalu dalam iaitu 611 kilometer (km), malah pemantauan yang dijalankan secara dekat mendapati tiada sebarang gempa susulan berlaku.

Menurut kenyataan itu, Sistem Rangkaian Seismik MET Malaysia telah mengesan gempa bumi itu berlaku pada pukul 3.32 pagi dengan 4.4 pada skala Richter di kedudukan 6.45° Utara 115.87° Timur di Laut China Selatan.

“Sehubungan itu, maklumat gempa bumi tersebut telah direkodkan dan tidak dihebahkan kepada pihak awam semalam, namun MetMalaysia akan terus menjalankan pemantauan kejadian gempa bumi.

“Kedudukan gempa bumi berkenaan berada di kedudukan yang secara amnya di luar zon aktif gempa iaitu di luar lingkaran api Pasifik,” menurut kenyataan itu.

Semalam, tular dalam media sosial mendakwa satu kejadian gempa bumi berlaku di Laut China Selatan kira-kira 53 km dari Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan MetMalaysia, berdasarkan peta seismotektonik edisi kelima pada 2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, gempa bumi itu berada di kawasan inactive thrust fault.

“Oleh yang demikian, gempa bumi yang berlaku di laut dengan magnitud kurang daripada lima dan kedalaman melebihi 300 km tidak memberi kesan di permukaan,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here