Lelaki tabur paku atas jalan raya tiada kaitan dengan bengkel,khidmat tunda kenderaan

0
184

PEMILIK kenderaan Nissan Almera yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden menabur paku di kawasan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing dekat Batu Gajah tidak mempunyai kaitan dengan perkhidmatan menunda atau bengkel kenderaan.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri berkata perbuatan khianat itu dilakukan lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

“Lelaki itu berjaya ditahan polis Sabtu lepas. Hasil siasatan mendapati lelaki itu bukan bekerja sebagai mekanik atau bersekongkol dengan mana-mana bengkel kenderaan dan perkhidmatan penunda kenderaan,”  katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif memaklumkan polis menahan lelaki itu di sekitar Changkat Larang, Lahat, pada pukul 3 pagi, Sabtu lepas.

Beliau berkata lelaki itu ditahan susulan satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

Sebelum itu tular di sosial media satu rakaman video berdurasi 24 saat yang dirakam oleh pemandu kenderaan lain, memaparkan pemandu kereta itu menabur paku di persimpangan jalan raya dari tingkap kenderaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here