Tujuh lelaki,seorang wanita Mynmar ditahan disyaki terlibat pergaduhan

0
179

POLIS menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga Myanmar disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki senegara di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kesemua lelaki berusia 22 hingga 51 tahun dan wanita berusia lingkungan 35 tahun itu ditahan pada 11.45 malam.

“Siasatan di tempat kejadian iaitu di sebuah bilik sewa mendapati kejadian berpunca daripada beberapa orang dalam kalangan mereka mabuk dan mengakibatkan pergaduhan.

“Seorang daripadanya yang berusia lingkungan 32 tahun meninggal dunia disyaki ditikam dengan objek tajam pada bahagian dada kiri, manakala seorang lagi berusia 51 tahun cedera di bahagian lengan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Mohd Sohaimi berkata polis merampas beberapa barangan termasuk cadar, dua baju terdapat kesan disyaki darah, dua seluar terdapat kesan disyaki darah, satu pelitup muka dan tiga botol kosong minuman keras.

“Kesemua yang ditahan direman hingga 6 April ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya pada masa sama turut mengesan seorang lelaki warganegara sama dikenali sebagai Myint Hlaing, berusia 41 tahun, dipercayai JUGA terlibat dalam kejadian itu.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, ASP Nik Samsuriah Daud di talian 013-727 2120 atau 07-386 4222.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here