Dr. Khalid dilantik Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Masa

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

INSTITUT Masa Depan Malaysia (Masa) mengumumkan pelantikan Dr. Khalid Abdul Hamid, 61, sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan badan pemikir bebas itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Masa, Azril Mohd. Amin berkata, pelantikan itu kerana beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam penyelidikan pelbagai bidang khususnya ekonomi dan sosial.

“Sebagai bekas Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan di Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau bertanggungjawab mengetuai penyediaan kertas-kertas dasar, laporan dan dokumen berkaitan ekonomi, kewangan serta sosial termasuk input untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Semasa di Kementerian Kewangan, beliau mengetuai pasukan yang ditugaskan menyediakan Laporan Ekonomi serta Belanjawan 2015 dan 2016.

“Jawatan terakhir beliau adalah mengetuai Unit Penyelidikan Strategik Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Beliau juga sering dijemput membentangkan hasil kajiannya di dalam dan luar negara.

“Antaranya, kajian tentang Pasaran Tenaga Bersepadu di Asia Tenggara yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei dan Jakarta pada 2011. Kertas penyelidikan beliau mengenai kesan kenaikan kadar tenaga terhadap industri makanan turut mendapat perhatian
Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) pada 2012, malah diterbitkan jurnal terkemuka ERIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Dr. Khalid adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Ekonomi Pembangunan dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Masa ujarnya, mengalu-alukan pelantikan itu dan berharap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang penyelidikan dapat membantu membawa badan pemikir bebas itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Begitu juga katanya, menjadikan badan pemikir yang berwibawa berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama. – SB