Najib petik hujah Rahman Sebli untuk pengampunan diraja

0
147

DATUK Seri Najib Razak akan memperkukuhkan permohonannya untuk mendapatkan pengampunan diraja berdasarkan keputusan bertentangan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini selepas mahkamah persekutuan Jumaat lalu menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan kesnya.

“Ini termasuk hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International RM42 juta,” katanya ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguam kanan itu berkata, keputusan Rahman yang tidak bersetuju tersebut telah dimasukkan dalam permohonan pengampunan diraja.

“(Permohonan) pengampunan kami adalah sama seperti yang dikatakan oleh Rahman Sebli dalam penghakimannya.

“(Permohonan) pengampunan ini adalah mengenai individu itu (Najib) yang tidak mendapat perbicaraan yang adil, ia (rayuan terhadap keputusan dan hukuman bersalah SRC) tidak didengari oleh Mahkamah Persekutuan, dan mereka (mahkamah persekutuan) hanya mendengar (sisi cerita) pendakwaan (dan bukannya Najib).

“Kami akan menghantar penghakiman Rahman Sebli kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dibacakan (sebagai sebahagian daripada permohonan pengampunan),” kata Shafee, lapor Malaysiakini.

Walaupun Rahman dalam penghakimannya berkata, beliau cenderung untuk memberikan Najib pembebasan, ahli panel lain tidak bersetuju, menyebabkan keputusan majoriti 4 berbanding 1 untuk menolak permohonan semakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Anggota lain yang menganggotai panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Shafee sebelum itu menghadiri prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur berhubung kes pecah amanah (CBT) Najib membabitkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang dibayar kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) berhubung 1MDB.

Peguam Negara hari ini memohon agar perbicaraan yang dijadualkan membabitkan Najib dan Tasn Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah ditangguhkan ekoran ada ‘perkembangan baru’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here