Mogok bukan penyelesaian terbaik tangani isu sektor kesihatan-Dr Noor Hisham

0
162

MOGOK secara tidak terancang bukan suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap sebarang permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana profesional lain, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara yang lebih berhemah.

“Penganjuran mogok secara amnya boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ianya dianjurkan. Lazimnya ia dianjurkan untuk menyampai mesej tertentu kepada pihak-pihak berkaitan.

“Namun, perkara ini perlu ditimbang dengan teliti. Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal terutama kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus akan berlangsung mogok doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini dan laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok tersebut malah hanya menerima hebahan melalui saluran media sosial sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan antaranya mewujudkan perjawatan tetap, penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

Beliau percaya kerajaan akan memastikan segala permasalahan dan permintaan itu diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, perkhidmatan kesihatan dilihat terus diberi keutamaan sewajarnya oleh pihak kerajaan sebagaimana yang dapat kita perhatikan melalui Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI. Semoga perkhidmatan kesihatan dapat terus diperkukuhkan lagi dalam tahun mendatang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal termasuk petugas kesihatan kerana kompleksiti, cabaran, risiko dan jerih perih perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan serta tanggungjawab mereka.

“Pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa tanpa sistem kesihatan yang berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak tersebut dengan baik dan orang ramai tidak mungkin dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa.

“Justeru, petugas kesihatan yang merupakan aset utama Perkhidmatan Kesihatan perlu terus diberi perhatian sewajarnya, termasuk imbuhan sewajarnya buat perkhidmatan mereka,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here