Sembilan ditahan khianat,ugutan kepada peminjam along

0
182

SEMBILAN warga tempatan termasuk sepasang suami isteri ditahan polis kerana terlibat dengan sindiket mengambil upah melakukan jenayah khianat dan mengugut peminjam yang gagal membuat bayaran kepada along.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan ke atas tujuh lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 21 hingga 41 tahun itu dilakukan selama dua hari bermula Isnin lepas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen melibatkan aktiviti mengugut dengan menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Shah Alam, serta di beberapa kawasan lain, ” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya sindiket itu didapati mula beoperasi pada bulan lepas dengan seorang suspek yang ingin membuat pinjaman along sebaliknya telah ditawarkan kerja tersebut dengan upah sekitar RM300 ke RM450 mengikut jarak dan tindakan yang diambil.

Beliau berkata suspek lelaki berusia 41 tahun itu kemudian mengajak rakan-rakannya yang lain untuk bersama-sama melakukan ugutan terhadap peminjam dan siasatan mendapati sebanyak 80 transaksi pembayaran telah diterima daripada along ke dalam akaun lelaki itu.

“Kami sedang menjejaki along yang terlibat dan dipercayai sindiket itu berurusan dengan lebih satu along yang kebanyakan pembayaran dilakukan secara deposit tunai,” katanya.

Mohd Iqbal berkata hasil siasatan awal mendapati, kesemua mereka tidak bekerja dan tujuh daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan jenayah.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mereka kini direman bermula semalam hingga 31 Mac.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here