Mansuh pelepasan cukai SSPN, musnah galakan menabung – Wan Saiful

0
179

MEMANSUHKAN pelepasan cukai bagi pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) disifatkan satu tindakan yang bakal memusnahkan galakan menabung rakyat pada masa hadapan.

Ahli Majlis Tertinggi BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan kerajaan memansuhkan pelepasan cukai itu menyebabkan rakyat khususnya anak muda akan terus bergantung membuat hutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya,semasa menjawat Pengerusi PTPTN, beliau mengusahakan insentif pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN demi memberi galakan kepada rakyat untuk menabung.

“Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.

“Saya dan pegawai-pegawai kanan PTPTN naik turun Pejabat Menteri Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri berkali-kali pada 2018 dan 2019 untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebagai penggalak penabungan lebih besar yang akhirnya berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan bermula Belanjawan 2019.

“Hasilnya, jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook (FB), hari ini.

Jelasnya, sebelum mengambil alih PTPTN, jumlah deposit ketika itu hanya RM726.84 juta namun ia melonjak setahun selepas beliau mengemudi apabila merekodkan jumlah deposit RM1.14 bilion dan terus meningkat kepada RM1.37 bilion pada (2019), RM1.99 bilion (2020) dan RM3.01 bilion (2021).

“Jelas sekali apabila saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019, ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN.

“Tetapi langkah yang mesra rakyat inilah yang mahu dihapuskan oleh (kerajaan hari ini).

“Mereka pasti akan beri pelbagai alasan kenapa mereka menghapuskan pelepasan cukai untuk simpanan SSPN yang mungkin mereka akan kata bahawa pelepasan cukai memberi manfaat kepada mereka orang yang mampu menabung sahaja,” katanya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, insentif pelepasan cukai itu adalah alat yang berkesan bagi menggalakan rakyat menabung dan kumpulan sasarnya juga adalah tepat.

“Sebenarnya memanglah dalam menggalakkan penabungan, kita mensasarkan golongan yang mampu menabung.

“Ini kerana kita tidak mahu mereka terus berhutang, padahal mereka mampu menabung demi pendidikan anak bangsa, maka insentif itu adalah alat yang berkesan,” katanya lapor Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here