Hakim Syarie nasihat Farid,Diana berdamai

0
152

MAHKAMAH Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini hari ini menasihatkan pelakon Farid Kamil dan isterinya yang juga pelakon iaitu Diana Danielle, untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, memberitahu pemberita  selepas sebutan kes perceraian pasangan pelakon itu di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.

Beliau berkata hakim  itu berkata “Benda yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan)”.

Fakhrul Azman berkata hakim berkenaan turut memerintahkan pasangan itu melantik wakil masing-masing dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei ini untuk mengetahui laporan jawatankuasa terbabit.

“Pada prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan mengenai lantikan wakil JKP dan Farid telah melantik kakaknya manakala Diana melantik rakannya sebagai wakil JKP dan proses perbincangan dalam jawatankuasa itu akan didakan di pejabat agama Shah Alam, yang mana tarikhnya akan ditentukan kemudian.

Seterusnya, pihak-pihak akan melalui proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) dan mahkamah akan menentukannya,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana yang nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, mengesahkan tarikh 30 Mei yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Pada tarikh tersebut mahkamah akan membaca laporan JKP yang akan dipengerusikan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam (JAIS),” katanya.

Sementara itu, Akberdin memaklumkan bahawa pada 24 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara dua anak pasangan berkenaan, yang berusia 10 dan lapan tahun kepada Diana, namun tiada halangan untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya.

Farid ketika ditemui pemberita selepas prosiding mendakwa hampir 23 hari beliau tidak dapat bertemu dua anaknya itu.

Pelakon Lagenda Budak Setan itu berkata, keretakan rumah tangganya berpunca daripada “pihak ketiga”  namun enggan mendedahkan isu berkenaan dengan lebih terperinci.

Dalam pada itu, Diana berkata, tuduhan yang dilemparkan suaminya berhubung isu orang ketiga sebagai fitnah.

Terdahulu, Farid yang tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi berkata beliau membawa sejambak bunga sebagai  tanda perdamaian dan sebentuk cincin emas untuk diberikan kepada Diana.

Pada 10 Mac lepas, Diana selaku plaintif memfailkan permohonan cerai terhadap Farid mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here