Mahathir beri Anwar 7 hari tarik balik tuduhan kumpul kekayaan

0
217

TUN Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik tuduhannya terhadap beliau yang mengumpul kekayaan untuk diri dan ahli keluarganya dan jika gagal tindakan undang-undang akan diambil. 

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Mahathir menyifatkan kenyataan yang dibuat Anwar pada Kongres PKR baru-baru ini sebagai “fitnah yang teruk”.

“Saya beri masa tujuh hari untuk tarik balik dan lakukan bahawa dia tak berjaya tunjuk bukti apa yg disebutkan.

“Tapi kalau dalam tujuh hari dia tak berjaya (buktikan) saya akan ambil tindakan,” katanya kepada media di Putrajaya, hari ini.

Mahathir merujuk kepada kenyataan yang dibuat Anwar semasa Kongres PKR baru-baru ini, di mana perdana menteri dalam ucapan presiden menyindirnya selepas beliau menuduhnya cuba menghalang perbezaan pendapat.

Anwar dalam ucapannya antara lain berkata “ada orang” yang memimpin negara “selama 22 tahun ditambah 22 bulan” kini bercakap mengenai nasib orang Melayu.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

Mahathir berkata walaupun Anwar tidak menamakannya, namun ia jelas siapa yang beliau maksudkan.

“Ia merupakan satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion-bilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara, dan saya tak bayar cukai. Banyak tuduhan-tuduhan dibuat dalam ucapan ini,” katanya.

“Sekarang dia adalah perdana menteri, dan perdana menteri mempunyai tanggungjawab tak boleh buat tuduhan dengan begitu sahaja tanpa bukti jelas.”

Mahathir berkata peguamnya Rafique Rashid sudah memulakan proses untuk menghantar notis kepada Anwar sejak semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here