KENAIKAN harga barang mentah di pasaran memberi ‘tempias’ kepada peniaga dan pembeli terutama ketika bulan Ramadan.
Ramai peniaga bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga barang jualan masing-masing akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah yang masih tiada kesudahan sehingga kini.
Tinjauan SatuBerita di bazar Ramadan di Sentul mendapati, rata-rata peniaga menjual kuih-muih RM1 sebiji berbanding tahun-tahun sebelumnya. Taufu fa pula dijual pada harga RM5 berbanding RM2 sebelum ini.
Bagi peniaga, Herniwati Baharum, 35 tahun ini adalah tahun paling mencabar buat dirinya kerana terpaksa menaikkan harga kuih jualannya kepada RM1.
“Ada juga kita terima rungutan daripada pelanggan yang kata kuih yang saya jual mahal iaitu RM1 sebiji untuk pau goreng kacang merah.
“Tapi saya nak buat macam mana. Harga bahan mentah memang mahal. Dahulu boleh la nak jual RM1.20 sen untuk dua biji atau tiga biji. Tapi sekarang memang tidak boleh buat begitu sebab tidak pulang modal.
“Untung tidak seberapa kalau masih jual harga sama sebab dah kira kos jualan. Harapan saya sebagai peniaga mahu harga bahan mentah diturunkan supaya peniaga tidak terbeban dan kita pun mahu jaga hati pelanggan,” katanya.
Bagi peniaga roti john, Hafiz Mamad, 46 menjelaskan, dia tidak menaikkan harga terlalu ‘kayangan’ kerana masih bersama dengan pembekal yang membekalkan barangan perniagaannya sejak lima tahun lalu.
“Misalnya dari segi daging tiada peningkatan yang terlalu tinggi dan pada saya jika peniaga roti john lain jual pada harga ‘kayangan’ mungkin disebabkan sewa tapak bazar menyebabkan kos peningkatan harga roti john.
“Jadi kami memang mengekalkan harga dengan harga RM8 untuk roti john ayam dan ketika hari pertama puasa kami jual pada harga RM6 bagi galakkan kepada orang ramai untuk membeli.
“Pada saya tiada isu untuk naikkan harga yang ‘bukan-bukan’ kerana yang mengambil harga seperti ini (harga kayangan) adalah peniaga yang bukan sepenuh masa di mana mereka hanya meniaga di bulan Ramadan sahaja. Pada saya inilah yang mencacatkan industri makanan ‘food truck’,” katanya.
Bagi pesara kerajaan, Ariffin Sahari,75, walaupun makanan di bazar Ramadan mahal dia perlu beli kerana ada kala tiada pilihan.
Meskipun bukan untuk dirinya, tetapi untuk cucu dan anaknya yang balik sekali sekala berbuka bersama keluarga
“Saya tidak perlu makanan seperti ini. Makanan saya biasa saja. Dahulu saya beli Taufu fa harga RM2 sekarang harga RM5.
“Sebagai pengguna sejujurnya saya suka beli mahan mentah sahaja dan masak sendiri di rumah. Biasa lauk tengah hari saya beli RM30 hingga RM40 tapi kalau saya beli ayam sendiri masak sendiri boleh masak dua kali. Itu dah untung.
“Pilihan yang ada hanya beli bahan dan masak. Itu sahaja cara untuk jimat walaupun harga bahan mentah agak mahal,” katanya.