Polis rampas 31 kilogram ganja bernilai lebih RM78,000 terbesar di Pahang

0
189

POLIS merampas 32 ketulan mampat disyaki ganja seberat lebih 31 kilogram dengan anggaran nilai RM78,207.50 berikutan penahanan seorang pembantu kedai makan, minggu lepas, yang merupakan rampasan terbesar di Pahang untuk tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dadah itu ditemukan dalam bangsal di Kampung Chendering di sini, susulan penahanan suspek bersama satu ketulan mampat dadah itu, dipercayai sedang menunggu pelanggan, pada 5.30 petang, 21 Mac lepas di Jaya Gading.

“Bangsal itu terletak di tepi rumah keluarga suspek dan pemeriksaan menemukan ketulan mampat dadah tersebut disimpan dalam guni dan bekas plastik.

“Suspek dipercayai mula mengedar dadah sejak dua bulan lepas dan bergerak secara solo dengan bekalan dibawa masuk dari Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 65,566 penagih sehari dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.5 gram.

Ramli berkata ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah selain turut mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Polis, menurut Ramli akan memohon supaya reman suspek selama seminggu yang berakhir hari ini, disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here