Kerajaan kembalikan RM2.1 juta dana didakwa milik 1MDB

0
156

KERAJAAN diarah mengembalikan semula RM2.1 juta yang dilucut hak kepada dua parti politik dan tujuh individu lain atas dakwaan dana itu berasal daripada 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak akan mencabar permohonan rayuan pemohon bagi pengembalian wang tersebut.

“Representasi mereka kepada Jabatan Peguam Negara diterima. Kami tidak mencabar rayuan mereka,” Kamal memberitahu panel hakim dipengerusikan Hakim Kamaludin Said, lapor FMT.

Pada 2020, tiga Mahkamah Tinggi berasingan membenarkan kerajaan melucut hak RM1 juta daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA Pahang (RM835,258.19), dan tujuh individu (keseluruhan RM265,146.16).

Pagi ini, Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Supang Lian, mengenepikan keputusan tersebut dan memerintahkan wang terbabit dikembalikan kepada perayu dalam tempoh dua bulan, bersama faedah terkumpul.

Peguam Avinash Kamalanathan mewakili PBRS, manakala Nur Jehan Abu Bakar mewakili tujuh individu itu.

Rayuan berkenaan merupakan rayuan terakhir melibatkan kes pelucutan hak yang tertangguh di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah sebelum ini, mengarahkan kerajaan memulangkan semula RM21.7 juta kepada 11 individu, entiti perniagaan, dan parti politik atas situasi sama.

Pada 30 Januari, Kamal memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan sama bahawa pihak pendakwaan menarik rayuan mereka terhadap pihak berkenaan.

11 responden itu termasuk Jakel Trading Sdn. Bhd. (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn. Bhd. (RM4,631,602), AGA Touch Sdn. Bhd. (RM3 juta), dan Barisan Nasional (BN) Johor (RM957,395.65).

Pada 5 Februari, pihak pendakwaan juga menggugurkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang kerajaan melucut hak kira-kira RM194.5 juta diberikan Datuk Seri Najib Razak kepada parti politik dan entiti perniagaan.

Penerima terbabit adalah Ibu pejabat UMNO (RM192.6 juta), UMNO Pahang (RM2.5 juta), dan UMNO Kedah (RM1.05 juta).

Kerajaan sudah mengembalikan wang dilucut hak itu kepada perayu susulan arahan mahkamah dibuat pada Januari dan Februari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here