Edar minuman keras tanpa cukai, dua beradik didakwa sogok polis RM25,000

0
157

DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberikan rasuah sebanyak RM25,000 kepada seorang penolong penguasa polis agar tidak diambil tindakan kerana mengedar minuman keras tanpa cukai sah pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Ragubathi Anamaley, 42, dan Vijayakumar Anamaley, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dua beradik itu didakwa secara bersama-sama dengan niat telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang sebanyak RM25,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia, iaitu penolong penguasa polis yang bertugas di Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk melepaskan mereka daripada dikenakan tindakan di bawah seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di satu premis restoran dan bar di Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2022.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras menawarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mahendren Naidu memohon jaminan rendah dengan alasan jumlah jaminan yang ditawarkan keterlaluan dan membebankan selain dua beradik itu juga menganggung ibu bapa yang menghidap strok.

Hakim Azura kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara selain syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen, lapor Utusan TV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here