Guna wang khairat kematian peneroka, pembantu tadbir sambut Ramadan di penjara

0
179

SEORANG pembantu tadbir terpaksa menyambut hari pertama Ramadan di penjara selepas Mahkamah Sesyen Kuantan, menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadapnya, bermula hari ini.

Tertuduh, Mohd Azlan Bin Jainal, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah RM64,734 dan kesalahan itu dilakukan antara Mac hingga April 2021.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM68,500 untuk semua pertuduhan terbabit selain mengenakan hukuman penjara berjumlah 29 bulan jika tertuduh gagal membayar semua denda berkenaan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang sebelum ini pernah bertugas di FELDA Jengka 12 Melor, Maran, mengeluarkan 10 keping cek atas namanya sedangkan catatan pada cek yang dibuat oleh tertuduh adalah nama peneroka yang telah meninggal dunia bagi tujuan bayaran khairat kematian.

Dalam masa sama, Pengurus dan Penyelia FELDA terbabit turut mengesahkan mereka tidak pernah menandatangani semua cek berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda.

Dalam prosiding rayuan, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan berikutan mempunyai lima tanggungan iaitu isteri dan empat anak manakala isterinya tidak bekerja.

Tertuduh juga ketika ini bertugas di FELDA Trolak Perak mendakwa, dia menggunakan wang berkenaan bukan untuk tujuan peribadi sebaliknya untuk membeli peralatan pejabat dan menjayakan program.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rif’ah ‘Izzati Abdul meminta mahkamah mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman antara lapan bulan hingga 13 bulan penjara yang berjalan serentak selain mengenakan denda antara RM5,000 hingga RM7,500 bagi setiap 10 pertuduhan berkenaan lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here