Norjuma diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

0
351

USAHAWAN selebriti, Norjuma Habib Mohamed diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini selepas gagal melunaskan tuntunan berjumlah RM260,400 yang dibuat oleh syarikat Fame Up Entertainment pada 2022.

Pengisytiharan bankrap itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Siti Zulaikha Nordin.

Peguam Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 26 Oktober tahun lalu.

”Mahkamah telah mengisytiharkan Norjuma bankrap, buat masa sekarang kami akan teruskan dengan failkan perintah mahkamah dan Jabatan Insolvensi akan teruskan dengan proses kebangkrapan.

”Tiada peguam bagi pihak Norjuma dan dia juga tidak hadir ke Mahkamah Tinggi pada hari ini, notis telah diberikan kepada Norjuma, mahkamah juga telah keluarkan perintah, namun dia tidak hadir,” katanya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown hari ini.

Yang turut hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ialah pemilik syarikat Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi.

Sebelum ini, syarikat Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma bagi menuntut usahawan selebriti berkenaan membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu, usaha untuk menahan Norjuma yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah juga gagal selepas dia tiada di kediamannya.

Fame Up Entertainment sebelum ini memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

Menurut Muhammad Hassanuddin, prosedur untuk waran tangkap masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

”Kami masih berkomunikasi dengan pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi Shah Alam serta balai-balai berkenaan.

“Waran tangkap juga telah diserahkan kepada balai-balai berkenaan iaitu di Kuala Lumpur dan di Selangor,” katanya.

Tambahnya, syarikat Fame Up juga mendapati Norjuma banyak mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh syarikat itu adalah palsu.

”Kami percaya berdasarkan perintah yang dikeluarkan, tindakan yang diambil oleh syarikat Fame Up adalah betul dan ia masih berjalan di mahkamah.

”Kami harap Norjuma berhenti keluarkan kenyataan yang tidak betul lebih-lebih lagi melibatkan prosiding mahkamah,” katanya lapor Warta Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here