Letak kawal selia parti politik bawah SPR, kata Bersih

PEMANTAU pilihan raya, Bersih menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan dengan meletakkan parti politik di bawah kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas, dan bukannya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Pengerusinya, Thomas Fann, berkata Akta Pertubuhan patut dipinda bagi menghapuskan kuasa menteri dalam negeri dalam memberi pengecualian bagi keadaan tertentu mengikut akta tersebut.

Katanya, akta berkenaan pernah digunakan menteri dalam negeri sebelum ini untuk memberi tekanan atau menyekat seteru politik dan pertubuhan yang kritikal terhadap kerajaan.

Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan gabungan, sepatutnya mmahami bagaimana JPPM disalahguna pihak eksekutif ketika mereka menjadi pembangkang.

Fann berkata, pengecualian diberikan kepada UMNO melibatkan pemilihan parti bagi jawatan presiden dan timbalan presiden merupakan tindakan jelas memberi kelebihan politik kepada rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau memberi pengecualian kepada usul UMNO tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden, pada pemilihan UMNO, bulan ini.

Mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan, menteri diberikan kuasa budi bicara memberi pengecualian kepada mana-mana pertubuhan berdaftar atau mana-mana peruntukan terkandung dalam akta itu.

Fann berkata, kuasa budi bicara perlu digantikan dalam proses lebih jelas dan menetapkan kriteria untuk dipenuhi pemohon, serta pendaftaran mesti diluluskan setelah semua syarat dipenuhi.

“Amalan menggunakan budi bicara yang berterusan membuka ruang kepada kerajaan untuk dituduh berat sebelah atau salah guna kuasa, dan menjejaskan kemampuan JPPM bertindak sebagai agensi profesional,” katanya lapor FMT.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, berkata pindaan terhadap Akta Pertubuhan sudah lama tertangguh. Katanya, peruntukan akta itu yang membenarkan JPPM membatalkan pendaftaran pertubuhan juga dilihat bermasalah.