Mahkamah benar pasport diserah kepada Rosmah buat sementara

0
197

PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan pasport sementara dibenarkan Mahkamah Rayuan hari ini.

Isteri bekas Perdana Menteri yang bergelar banduan itu memohon pasportnya dengan memberi alasan bagi melawat ahli keluarga, termasuk seorang cucu yang sakit.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah.

Panel terbabit membenarkan pasport Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikembalikan kepadanya untuk ke Singapura bermula Khamis ini hingga 5 Mei depan, dan akan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 10 Mei.

Terdahulu peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, memohon pasport dikembalikan sementara bagi membolehkan anak guam melawat anak perempuan, menantu dan dua cucu lelaki, termasuk seorang yang sakit di negara berkenaan.

“Permohonan supaya Rosmah dapat ke Singapura pada 23 Mac dan pulang kembali ke negara ini pada 5 Mei depan.

Anak guam akan meluangkan masa di negara itu selama enam minggu memandangkan ada cuti Aidilfitri.

“Saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan yang dibuat, dan pasport akan dipulangkan seminggu selepas anak guam pulang dari Singapura,” katanya dipetik laporan BH.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.

“Saya mohon pasport Rosmah dipulangkan semula ke mahkamah pada 10 Mei depan,” katanya.

Pada 1 September tahun lalu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.

Rosmah yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Mohamed Zaini adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here