PN mungkin menang 14 kerusi DUN majoriti Melayu di P Pinang

0
573

PERIKATAN Nasional (PN) berada dalam kedudukan kukuh untuk menawan 14 daripada 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang jika trend pengundian pada PRU-15 menjadi petunjuk.

Bagaimanapun, gabungan itu mungkin tidak dapat merampas kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mendapat sokongan bukan Melayu yang membentuk majoriti 62% hingga 98% pengundi di 25 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang.

Satu kerusi majoriti Melayu yang mungkin sukar dimenangi pakatan pembangkang ialah Batu Maung, di mana pengundi Melayu hanya membentuk 54%. Di 14 kerusi majoriti Melayu lain, 60% pengundi adalah Melayu.

Kebangkitan PN di Pulau Pinang

Pada PRU15, PN merampas Kepala Batas dan Tasek Gelugor daripada Barisan Nasional (BN), dan menewaskan PH di Permatang Pauh, kerusi sinonim dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdapat sembilan kerusi DUN majoriti Melayu dalam kawasan pilihan raya ini.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN memenangi bahagian terbesar sokongan daripada pengundi kali pertama, manakala PH kehilangan undi secara keseluruhan berbanding prestasi mereka pada PRU14. Secara umumnya, BN juga menyaksikan pengurangan undi.

Di Permatang Pauh misalnya, PAS yang menjadi komponen PN memperoleh 37,600 undi, peningkatan sebanyak 23,200 undi daripada 14,400 yang diraih parti itu pada PRU14. Sebagai perbandingan, BN kehilangan 2,895 undi dan PH kehilangan 3,168 undi.

Di Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu memperoleh 16,225 undi baharu manakala BN hanya berjaya meraih 317 undi baharu berbanding PRU14. PH menyaksikan bahagian undinya berkurangan sebanyak 1,892 undi.

Lima lagi kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang adalah bawah Parlimen Batu Kawan dan Balik Pulau.

Di Balik Pulau, majoriti PH berkurangan daripada 6,464 kepada 1,582 undi. PN, walaupun kalah, berjaya meningkatkan bahagian undinya daripada 5,298 kepada 22,892.

PN, PH yakin

Dr Afif Bahardin daripada PN yakin gabungan itu akan memenangi semua kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang atas sokongan undi simpati disebabkan pendakwaan terhadap pemimpinnya, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Wan Saiful.

Bekas Adun Seberang Jaya itu juga berkata, beliau percaya PN akan mendapat undi daripada golongan bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan setakat ini.

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dari PH berkata, kejayaan gabungan itu pada PRU15 tidak semestinya menunjukkan bagaimana rakyat akan mengundi pada PRN, kerana isu lain mungkin diutamakan.

Beliau berkata, kempen PRU15 lebih tertumpu kepada isu nasional berbanding prestasi kerajaan negeri pimpinan PH.

“Apabila kita menonjolkan kejayaan kita di peringkat negeri, kita boleh mengubah persepsi dan meneutralkan ‘gelombang hijau’ yang kita lihat pada PRU15,” katanya kepada FMT.

“Gelombang hijau” merujuk kepada prestasi PAS pada PRU15, dengan parti Islam itu memenangi 43 kerusi dan penyokongnya juga membantu rakan komponen PN, Bersatu, meraih 31 kerusi.

Enam negeri, iaitu Pulau Pinang Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH, serta Kedah, Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS akan mengadakan PRN dalam tempoh empat bulan akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here