Gerakan bangga berjuang dengan PN lawan kezaliman, kleptokrasi

0
221

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini mempersoal tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang kini dilihat lebih kerap menyebelahi agensi atau mana-mana syarikat berbanding menjaga kepentingan rakyat.

Presidennya, Senator Datuk Dr Dominic Lau berkata, setiap kali ada masalah yang berbangkit, termasuk kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)dan harga barang, maka kehendak rakyat akan diabaikan.

“Ini bukan yang rakyat mahukan. Rakyat mahu jalan penyelesaian seperti jatuhkan harga barang tetapi apa yang Anwar buat, jatuhkan musuh politik. Jadi kepentingan rakyat letak dimana? katanya, lapor Agenda Daily.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan hari ini.

Dominic pada masa sama turut mengkritik kegegalan Menteri Pengangkutan kerajaan PH-BN, Anthony Loke yang dilihatnya tidak berupaya menyelesaikan masalah harga syiling tiket kapal terbang.

“Menurut Anthony, penurunan harga boleh menjejaskan dan memberi kesan buruk kepada sektor penerbangan.

“Ia saya tidak nafikan… tetapi kerajaan juga boleh nasihat atau beri amaran tegas kepada syarikat penerbangan yang menaikkan harga melampau akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Mengulas kes Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Dominic Lau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau status.

“Sesiapa sahaja yang terlibat perlu dipanggil, walaupun individu tersebut orang kenamaan, menteri atau pun Timbalan Perdana Menteri sekali pun.

“Gerakan menyambut baik perkara ini dan saya yakin SPRM akan melakukan kerja dengan amanah, adil dan tegas,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Gerakan akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55 pada 24 Mac ini.

“Walaupun Gerakan masih belum berjaya memperoleh kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, dan Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini, tetapi tetap bangga berjuang bersama-sama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional, melawan pemerintahan yang zalim, tidak profesional dan kleptoraksi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here