Petisyen PRU15, Hadi hadir ke mahkamah esok

0
180

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka hadir sebagai saksi pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, esok.

Memetik laporan Sinar Harian, Peguam Abdul Hadi, Wan Rohimi Wan Daud berkata, pemimpin itu dijadual memberi keterangan pada pukul 9.30 pagi di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani.

“Esok adalah hari pertama beliau (Abdul Hadi) tampil sebagai saksi di mahkamah dan dijangka terdapat juga penyokong yang akan turut hadir di pekarangan mahkamah pada hari esok (Ahad),” katanya, hari ini.

Jelas Wan Rohimi, selain Abdul Hadi, dua saksi lain yang turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Menurut laporan sebelum ini, Abdul Hadi merupakan antara saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung petisyen yang difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) bagi Parlimen Marang.

Peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Marang itu bersama beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan sebaik pihak pempestiyen selesai mengemukakan saksi di pihak mereka.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN dan menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh petisyen tersebut.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman pada 3 Januari lalu.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here