Tipu pelaburan online, 2 warga UK dipenjara 6 bulan, denda RM100,000

0
141

DUA lelaki warga United Kingdom (UK) dipenjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan atas talian antarabangsa membabitkan kerugian hampir RM53,000.

Tertuduh, Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Hukuman penjara ke atas mereka ditetapkan bermula dari tarikh mereka ditahan iaitu 21 Februari lalu.

Mengikut dua pertuduhan itu, Lloyd dan Roger bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa telah menipu dua warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.

Ia bagi memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa beliau dijamin akan mendapat kentungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

Dengan itu, mereka dituduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah AUD8,991.92 (RM27,018.28) dan AUD8,573 (RM25,759.54) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd..

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib; Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.

SPRM sebelum ini membongkar satu sindiket ‘scammer’ pelaburan yang didalangi warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.

Mereka dipercayai menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdayakan mereka membuat pelaburan tidak wujud.

Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsa menerusi platform media sosial dan panggilan telefon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here