Dua pengarah syarikat didakwa salah guna kuasa harta syarikat

0
203

DUA pengarah syarikat Revenue Group Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik syarikat mereka tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, lima tahun lepas.

Dua beradik itu Ng Shih Chiow, 50, dan Ng Shih Fang, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad, melupuskan harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Shih Fang (tertuduh kedua).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan di Jalan Genting Kelang di sini, pada 3 Okt 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili adik-beradik itu, memohon anak guamnya dilepaskan dengan bon jaminan sendiri, atas alasan mereka memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

“Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana masing-masing mempunyai isteri dan anak di negara ini, malah mereka hadir ke mahkamah untuk membersihkan nama mereka daripada pertuduhan ini serta mempertahankan syarikat mereka,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.

Sebelum ini media melaporkan, Revenue Group Bhd menggantung fungsi eksekutif Shih Chiow dan Shih Fang berkuat kuasa serta merta, sementara menunggu siasatan lanjut berhubung aduan tertentu terhadap mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here