Kerajaan PH-BN semakin cemas, pilih ambil tindakan zalim – Muhyiddin

0
202

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin cemas ekoran kegagalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, selain dilihat tidak tahu untuk menguruskan negara

Beliau berkata disebabkan keadaan itu berterusan dan tahu ianya akan menjadi lebih teruk, maka cara yang mudah dilakukan ialah mengambil tindakan zalim.

“Kita sedar dia (kerajaan PH-BN) menghadapi masalah besar. Tak reti (tahu) nak menguruskan negara dan dia ada rasa yang agak cemas. Yang kalau berterusan dan kalau mereka tak nak membantu maka pasti keadaan rakyat akan bertambah teruk lagi.

“Cara yang mudah untuk menyelesaikan masalah mereka ialah mengambil tindakan zalim. Bunuh semua parti pembangkang yang ada supaya hanya mereka saja yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara yang hadir termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Ng dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

Sehubungan itu Presiden Bersatu itu berharap rakyat sedar dan faham bahawa negara berdepan dengan satu situasi yang agak teruk.

“Kezalimannya berterusan. Saya tak tahu bila (kezaliman itu) akan berhenti.

“Sepatutnyalah mereka berhenti daripada sikap yang tidak bertanggungjawab, fitnah yang berleluasa, tindakan zalim yang mereka lakukan terhadap kita (Perikatan Nasional). Dan sewajarnya sistem demokrasi yang ada di negara kita ini dapat dipertahankan,” katanya lagi.

Sambil reda dengan dugaan dihadapinya, Muhyiddin berharap rakyat terus mendoakannya dapat mengharungi cabaran ini sekali gus dibebaskan daripada semua pertuduhan.

“Harapan kita hanya pada Allah sahaja yang tentunya lebih mengetahui, maha pengasih, maha penyayang bahawa makhluk ini berdepan satu kezaliman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here