Bersatu tak pecah, sokongan terhadap Muhyiddin makin kuat, kata Peja

0
264

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendakwaan kes mahkamah dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mematahkan semangat pemimpin dan ahli parti.

“Tiada perpecahan berlaku dalam parti sebaliknya taat setia dan sokongan ahli terhadap presiden semakin kuat.

“Secara jujur saya tidak nampak perpecahan daripada ahli atau pemimpin, malah sokongan dan taat setia kepada presiden parti bertambah kuat di setiap peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, katanya suasana perhimpunan agung kali ini diselangi pelbagai emosi apabila melihat pemimpin utama parti berdepan pelbagai dakwaan.

“‘Mood’ perhimpunan agung agak terganggu melihat negarawan kita diperlaku sebegitu rupa, jadi semangat untuk berhimpun sedikit berubah kerana ada sedikit marah dengan kezaliman yang berlaku,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu, lapor FMT.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here