OPR dijangka naik kepada 3.0 peratus Mei ini

0
145

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dibuat pada Mei ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu, demikian menurut Standard Chartered.

Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee, berkata pihaknya menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada paras semasa pada mesyuaratnya 9 Mac ini.

Beliau berkata, memandangkan subsidi masih ada, inflasi Januari menyederhana sedikit, dan dengan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM diunjur mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR terkumpul yang lalu.

Justeru, pihaknya akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pertumbuhan domestik dan prospek perkembangan inflasi.

“Walaupun bank pusat menghentikan seketika pada Januari (menaikkan OPR), nada penyataan dasar monetari adalah tidak lembut.

“BNM mempunyai penilaian positif terhadap ekonomi domestik dan membiarkan ruang terbuka untuk kenaikan selanjutnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor BH Online.

Mengulas lanjut, Lee berkata, pihaknya mengekalkan jangkaannya bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus Mei ini.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua, yang mungkin mengecualikan kumpulan pendapatan 20 peratus teratas (T20) daripada subsidi bahan api.

Katanya, berdasarkan andaian harga minyak AS$80 setong oleh Kementerian Kewangan (MoF), pihaknya menganggarkan bahawa pemansuhan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan menambah 0.5 mata peratusan kepada inflasi setiap tahun.

Januari lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here