Bantuan KWSP RM500 hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang – Ismail Sabri

Bagaimanapun rakyat memerlukan bantuan pada masa sekarang, terutama mangsa-mangsa banjir.

0
182

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyindir bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

Sambil memanggil usaha itu sebagai “murni”, katanya bantuan itu bagaimanapun hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang. 

Bagaimanapun, katanya rakyat memerlukan bantuan pada masa sekarang, terutama mangsa-mangsa banjir. 

“Namun keperluan rakyat adalah pada hari ini. Rumah hendak kena lelong, anak hendak masuk universiti, mereka mereka memerlukan wang pada masa sekarang bukan 10 atau 15 tahun lagi,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023. 

Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan RM500 ke dalam akaun simpanan individu yang mempunyai kurang daripada RM10,000.

Bantuan itu membabitkan RM1 bilion yang akan diberikan kepada hampir dua juta ahli yang berusia antara 40 hingga 54 tahun.

Ismail yang juga ahli Parlimen Bera turut mengulangi gesaan agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar. 

Beliau turut menyentuh cukai barangan mewah yang diperkenalkan dalam belanjawan itu. 

Katanya, ia dilihat bakal menjejaskan sumber pendapatan daripada pelancongan. 

“Aktiviti membeli belah pelancong asing menyumbang sebanyak 30% daripada RM86.1 bilion hasil pendapatan pelancongan negara pada tahun 2019 adalah disumbangkan oleh aktiviti membeli belah pelancong asing.

“Ini kerana Malaysia adalah syurga membeli belah kepada pelancong asing. Pengenalan cukai ini  menyebabkan mereka akan pergi ke negara-negara jiran untuk berbelanja, di Indonesia semakin banyak gedung yang menjual barangan mewah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here