‘Syarikat jubin’ seleweng diesel subsidi diserbu

0
193

TIGA lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama kira-kira 8,000 liter minyak diesel bersubsidi serta barangan lain bernilai lebih RM120,000 dalam satu sebuan, di Ipoh petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis yang berselindung di sebalik kedai jubin di Kawasan Perindustrian Sri Rapat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 83 unit tangki segi empat, dua buah lori lima tan bertutup kanvas, tiga buah mesin penyedut atau pam dan anggaran sebanyak 8,000 liter minyak disyaki diesel di lokasi berkenaan.

“Kesemua barang yang dijumpai telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM121,425,” katanya pada sidang media di premis tersebut di Ipoh.

Kamalludin berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan dua buah lori yang diubah suai tangki asal dan kemudiannya membeli diesel di stesen minyak sekitar Ipoh.

“Dua buah lori ini kemudiannya akan ke satu lokasi di kawasan perindustrian di sini untuk memindahkan dan menyimpan minyak disyaki diesel itu di premis yang berselindung dengan papan tanda perniagaan menjual jubin bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita mengesyaki mereka menjual kepada pihak industri dengan harga lebih murah daripada pasaran. Jadi, berlaku ketirisan subsidi diesel di situ,” katanya.

Sejak Januari sebanyak 12,127 pemeriksaan telah dilakukan dan telah menghasilkan 22 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan terkumpul termasuk hari ini adalah sebanyak lebih RM1.82 juta.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here